WIRA KBS TIDAK SABAR UNTUK MUSIM BAHARU
20 FEBRUARY 2023
PARA PELUMBA DAN PASUKAN WIRA KBS TIDAK SABAR UNTUK MUSIM BAHARU
Kejuaraan PETRONAS Malaysian Cub Prix musim ke-30 akan kembali pada hujung minggu ini di Litar Antarabangsa Sepang. Jika pada musim lepas, pelumba-pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing menyapu bersih ketiga-tiga tempat di podium, musim baru akan tampil dengan cabaran baru buat pelumba-pelumba kategori Wira KBS.
Persaingan kategori Wira KBS tidak mungkin hebat tanpa saingan daripada pelumba-pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing yang telah tampil dengan prestasi cemerlang pada musim lepas. Pada musim ke-30 ini, pasukan tersebut akan kembali dengan empat orang pelumba iaitu Amirun Haziq Johan, Md Shahrul Izwan Khairol, Md Al Syakir Zufayri dan Raiyan Khardanee yang sudah pasti akan menambahkan persaingan bagi kategori ini.
Menurut Sivanesan, pengurus dan pemilik pasukan, “Musim 2022 sememangnya suatu musim yang mengagumkan kerana kami memenangi 9 pusingan di tempat pertama dan 1 di tempat kedua. Di tambah lagi dengan pencapaian Adam yang berjaya menaiki podium untuk kesemua pusingan. Kami juga melakar sejarah pada musim lepas kerana berjaya menyapu ketiga-tiga tempat bagi juara keseluruhan. Ini adalah suatu pencapaian yang amat membanggakan bagi kami sepasukan bersama pelumba-pelumba baru.”
“Pelumba-pelumba kami amat berdisiplin dan sebagai wakil untuk pasukan 31 Racing, mereka memegang tanggungjawab yang penting dalam mengecapi pencapaian yang mampu menempatkan mereka di podium. Dengan panduan dan dorongan, saya percaya bahawa mereka boleh mencapai suatu prestasi yang bagus. Buat masa ini, pasukan kami sedang membina kekuatan dari segi pelumba dan jentera kerana sasaran kami adalah untuk menyahut cabaran dan mencapai pencapaian yang lebih baik daripada yang lalu. Saya sentiasa memberikan motivasi kepada pelumba-pelumba saya – fokus kepada perlumbaan dan semua matlamat sudah pasti dapat dikecapi, semangat kental dan kekuatan mental adalah penting. Inilah peringatan saya kepada pelumba-pelumba saya.”
Siva berkata lagi, “Buat masa kini, kami telahpun membuka jalan untuk meneroka kategori CP125. Dengan ini, kami berhasrat untuk mencapai suatu pencapaian di mana pasukan dan pelumba dapat berkembang ke peringkat yang lebih tinggi. Sudah pasti, motivasi kami adalah untuk memiliki kepakaran dan kemahiran yang setanding pasukan-pasukan lain dalam kategori CP150 suatu hari nanti.”
Md Farish Iqmal Khayrul Elyas dari Honda KC Racing yang telah mengambil tempat keempat secara keseluruhan pada musim lepas akan kembali ke kategori Wira KBS dengan harapan untuk memberikan saingan yang terbaik. Pada musim lepas, beliau telah menerima cabaran yang hebat daripada pelumba-pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha – 31 Racing namun begitu, beliau telah berjaya menampilkan prestasi yang mantap dalam mempertahankan kedudukannya dengan empat podium termasuk satu kemenangan. Beliau menamatkan musim 2022 dengan kumpulan mata sebanyak 135.
Kata Farish, “Pada pendapat saya, musim lepas agak mencabar bagi saya tetapi pada masa yang sama, saya juga amat berbangga kerana saya mampu menunjukkan potensi saya. Bagi musim ini, saya akan meneruskan semangat dan akan cuba tampil dengan pencapaian yang lebih bagus. Seperti biasa, persediaan awal adalah dari segi kecergasan fizikal dan kekuatan mental serta latihan kemahiran berlumba. Matlamat saya sudah pasti adalah untuk mencapai juara keseluruhan bagi musim ini. Pasukan saya sedang berusaha untuk buat yang terbaik lebih-lebih lagi dengan pengenalan “fuel injection” yang memerlukan penyelidikan yang lebih mendalam untuk memahami “setup” jentera.”
Turut menyertai pelumba-pelumba Wira KBS adalah Danish Abdul Rahman yang menjuarai kategori Honda Dash 125 Challenge yang akan berlumba untuk pasukan baharu iaitu Estremo 27 Racing. Pasukan baharu ini akan menyertai kategori Wira KBS bersama dua lagi pelumba iaitu Ahmad Iqram Danish Ahmad Ghazali dan Md Adib Arsyad dari kategori AEON Credit Service Yamaha NVX Challenge. Danish telah meraih enam podium termasuk dua kemenangan pada musim lepas dengan jumlah kumpulan mata keseluruhan sebanyak 169.
Menurut Danish, “Saya agak gembira kerana saya telah dipilih untuk menyertai pasukan baru di mana saya dapat melanjutkan lagi aspirasi berlumba pada musim ini. Walaupun saya tidak dapat mengelak cabaran, saya akan buat sehabis baik untuk mendapatkan tempat di podium. Persiapan saya pada masa ini lebih kepada kecergasan fizikal serta latihan tetapi di samping itu, saya juga memberikan masa untuk mendapatkan rehat yang secukupnya sebelum hari perlumbaan. Sebagai pelumba baru bagi pasukan Estremo 27 Racing, pasukan saya juga banyak membantu dalam hal-hal berkaitan dengan jentera, “gearing system”, posisi badan dan garis perlumbaan yang baik.”
Kategori Wira KBS akan melihat penyertaan suatu lagi pasukan baharu iaitu REXXO Racing Team dengan dua pelumba iaitu Danny Mikhail Khairul Fauzi dan Md Irfan Danish Mohd Arfan.
Comments