SELANGOR BANGKIT MUSNAHKAN IMPIAN KEDAH
Berita oleh : Mohd Fariq
Gambar oleh : Hazrin Zaidun
Kelana Jaya. 24 Mei 2023. Selangor FC bangkit dua kali dari ketinggalan seterusnya berjaya meraih 3 mata penuh setelah menewaskan Kedah Darul Aman FC di gelanggang sendiri dalam satu perlawanan yang mendebarkan pada malam tadi.
Walaubagaimanapun, pasukan tuan rumah dikejutkan dengan gol awal oleh pasukan Kedah seawal minit ke-6 perlawanan menerusi rembatan Amirbek Juraboev hasil dari sepakan sudut. Tersentak dengan gol awal pelawat, Selangor dilihat cuba mendominasi perlawanan dengan mengawal bola dibahagian tengah padang sambil beberapa kali menyerang gol Kedah, namun tiada sebarang gol terhasil.
Memasuki minit ke 20 perlawanan, rembatan dari jarak jauh oleh penyerang Selangor Ayron Del Valle gagal tangkap kemas oleh penjaga gol Kedah, Kalamullah Al-Hafiz seterusnya berjaya disambar oleh Yohandry Orozco. Beliau cuba memperdaya penjaga gol Kedah itu namun dijatuhkan seterusnya pengadil menghadiahkan sepakan penalti buat Selangor.
Sepakan penalti yang diambil oleh Ayron itu berjaya diselamatkan namun bola yang melantun kembali kepadanya berjaya disudahkan dengan cemerlang menjadikan kedudukan semasa terikat satu sama menjelang minit ke-22.
Selang lima minit selepas gol penyamaan Selangor itu, Kedah berjaya menambah gol kedua setelah pemain pertahanan Selangor, Yazan Al-Arab melakukan kesilapan apabila kehilangan bola berhampiran kawasan penalti seterusnya berjaya dirampas oleh Willian Lira. Kesempatan itu berjaya diambil dengan Willian Lira memperdaya Syarul Nazeem sebelum menolak masuk bola kedalam gol melepasi jangkauan penjaga gol Khairul Azhan Khalid.
Aksi serang menyerang kedua-dua pasukan ternyata menghiburkan. Hasil dari satu serangan balas dari sebelah kiri gol Kedah, Selangor berjaya mendapatkan gol kedua mereka setelah Faisal Halim merembat bola masuk hasil dari keadaan kelam kabut didepan pintu gol. Separuh masa pertama tamat dengan kedudukan terikat dua sama.
Bersambung di separuh masa kedua, tuan rumah dan pelawat mengekalkan corak permaian yang sama dan berintensiti tinggi dengan masing-masing cuba untuk menambah jaringan. Malang bagi Kedah apabila Muhamad Kamil Akmal dilayangkan kad merah oleh pengadil pada minit ke-75 apabila menjatuhkan Mukhairi Ajmal dari belakang sekaligus memberikan sepakan percuma buat Selangor di luar kotak penalti Kedah.
Gol kemenangan Selangor yang dicari-cari hadir pada minit ke-78 menerusi pemain berjersi nombor 8 mereka, Noor Al-Rawabdeh. Al-Rawabdeh menjadi wira Selangor apabila beliau menyudahkan tindakan susulan rakan senegaranya dari Jordan, Yazan Al-Arab selepas sepakan percuma Yohandry Orozco terkena palang gol dan melantun semula ke kaki Yazan.
Setelah berjaya mendahului perlawanan buat kali pertama malam tadi, Selangor meneruskan asakan ke kubu pertahanan Kedah yang kekurangan seorang pemain. Selangor terlepas 2 peluang untuk menjarakkan kedudukan setelah percubaan Faisal Halim berjaya diselamatkan dan sepakan Orozco yang melambung. Di minit-minit akhir perlawanan, Jonathan Balotelli hampir menyamakan kedudukan namun tolakan beliau yang berjaya melepasi jangkauan Khairul Azhan hanya meleret ditepi tiang gol. Kegagalan Kedah untuk meyamakan kedudukan jaringan tersebut nyata melegakan penyokong Selangor. Perlawanan ditamatkan oleh pengadil dengan keputusan akhir Selangor mengatasi Kedah tiga satu.
Dengan kemenangan tersebut, Selangor menjarakkan kedudukan kedua di carta Liga Super 2023 3 mata mengatasi Sri Pahang FC ditangga ketiga manakala Kedah di kedudukan kelima setelah tamat 12 perlawanan.
Comments