EDISI SULUNG KEJUARAAN SILAT PREMIER ANTARABANGSA SARAWAK 2023 BUKA GELANGGANG SECARA RASMI
27 FEBRUARY 2023
KUCHING (27 FEBRUARI): Edisi sulung Kejuaraan Silat Premier Antarabangsa Sarawak 2023 dibuka dengan penuh berprestij pada majlis perasmian pembukaan yang dirasmikan oleh Premier Sarawak, YAB Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg di Stadium Perpaduan, Petra Jaya, Kuching, malam tadi.
Dalam ucapan perasmian, YAB Premier Sarawak mengucapkan tahniah kepada Persatuan Rumpun Silat Sarawak (RSS) mempersiapkan perancangan bagi memastikan kejohanan berkelas antarabangsa dapat dijayakan sekali gus berjaya menyahut cabaran beliau untuk mengangkat martabat silat di Sarawak.
Turut disertakan adalah gambar dan kapsyen untuk kegunaan rakan-rakan media.
KAPSYEN GAMBAR
IMG 1: YAB Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari (paling kiri) menyempurnakan majlis pembukaan perasmian kejuaraan SPISC2023 yang berlangsung dengan penuh gilang gemilang, malam tadi.
IMG 2: YAB Premier Sarawak juga menegaskan Sarawak akan kembali menjadi kuasa besar dalam menjulang warisan, seni dan budaya silat lebih-lebih lagi Sarawak berada dalam kedudukan strategik dalam kalangan negara rantau Asia Tenggara seperti Indonesia, Brunei dan Singapura.
IMG 3: YAB Premier Sarawak, sangat berbangga untuk menerima kunjungan serta cabaran 21 kontinjen dalam dan luar negara dengan anggaran hampir 500 pesilat bersedia untuk berkampung di Kuching.
Hadirin sekalian. Alhamdulillah, kita panjatkan syukur ke hadrat ilahi di atas kesempatan untuk kita berhimpun pada satu majlis yang cukup bermakna, pada malam ini iaitu majlis perasmian KEJUARAAN SILAT PREMIER ANTARABANGSA SARAWAK 2023. Pertamanya, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat datang ke Kuching, Sarawak kepada Yang Berbahagia Datuk Wira Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin, Presiden Pencak Silat Kebangsaan (PESAKA), yang juga diiringi oleh rakan saya, Yang Berhormat Dato Sri Haji Abd Karim Rahman Hamzah, Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak. serta Yang Berbahagia Dato’ Mohamad Yusnar Haji Matalie, Timbalan Presiden Rumpun Silat Sarawak.
Sesungguhnya, kehadiran kekanda Presiden PESAKA dari Semenanjung, pastinya akan menyuntik semangat srikandi-srikandi silat negara yang bakal bertanding merebut kejuaraan edisi sulung kali ini. Di kesempatan ini juga, syabas saya ucapkan kepada Rumpun Silat Sarawak (RSS) atas komitmen dan kesungguhan dalam menganjurkan acara sukan bertaraf antarabangsa di Bumi Kenyalang kita. Ini merupakan usaha murni yang ditonjolkan demi untuk meletakkan martabat seni silat Sarawak ke satu tahap lebih tinggi. Selain itu, saya juga ingin berterima kasih kepada Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) dan Persekutuan Pencak Silat Dunia (PERSILAT) yang memberi kepercayaan serta kerjasama yang jitu kepada Rumpun Silat Sarawak (RSS) untuk menganjurkan kejuaraan berskala antarabangsa ini di Sarawak. Penganjuran kali ini adalah satu penghormatan besar kepada Sarawak, julung kalinya kita menganjurkan sukan silat yang lebih-lebih lagi menghimpunkan 21 kontinjen dalam dan luar negara dan seramai hampir 500 pesilat yang mengambil bahagian dalam kejuaraan ini. Ini merupakan satu kebanggaan yang amat saya ingin kecapi kerana cinta saya pada warisan, seni dan budaya silat di Sarawak.
Sudah tentu, sebagai penaung kepada Rumpun Silat Sarawak (RSS), saya berasa amat berbangga apabila sebuah kejuaraan antarabangsa seperti ini dianjurkan di bumi Sarawak selaras dengan pendirian kerajaan Sarawak untuk meningkatkan mutu sukan secara menyeluruh di negeri ini. Pelbagai usaha akan dirancang, supaya kita menjadi pencabar utama pada sukan SUKMA 2024. Tidak dilupakan juga, saya berterima kasih kepada para penaja dalam menjayakan kejuaraan ini serta ahli jawatankuasa yang bertungkus-lumus, merancang gerak kerja bagi memastikan kejohanan berskala antarabangsa ini dapat dilaksanakan dengan jayanya. Hadirin sekalian yang dihormati, Saya berasa yakin bahawa kita sudah bersedia untuk membuka gelanggang silat kepada hampir 21 kontinjen silat dalam dan luar negara yang bertanding. Sudah pasti, kesemua kontinjen yang dihantar pada kejuaraan ini akan memberikan aksi yang bertenaga. Saya ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada kontinjen silat Sarawak yang dibarisi pesilat handalan yang akan memberikan saingan yang sengit dan gunakan kelebihan beraksi di laman sendiri.
Sudah tentu, penganjuran Kejuaraan Silat Premier Antarabangsa Sarawak 2023 ini bukan sahaja akan meningkatkan mutu sukan silat, malah akan mengukir nama Sarawak di persada dunia lebih-lebih lagi dengan penglibatan kontinjen dari pelbagai negara luar seperti Filipina, Belanda, Amerika Syarikat, Kyrgystan yang akan turut serta menghangatkan bandar Kuching sepanjang seminggu penganjuran. Justeru, penganjuran kejuaraan ini amat signifikan dan penting untuk kita selain mempromosikan sukan silat, tetapi apa yang penting adalah untuk kita menjadikan warisan, seni dan budaya silat salah satu elemen seni budaya yang perlu kita pertahankan. Ini menjadi satu penghormatan besar buat Sarawak untuk memberikan gambaran terbaik bahawa silat semakin diterima bukan sahaja di rantau ini, malah warisan nenek moyang kita kini telah berkembang di negara luar.
Para hadirin sekalian, sebelum saya akhiri ucapan saya, Saya juga ingin menyeru kepada kontinjen silat Sarawak yang mewakili negeri Sarawak, berikan persembahan yang terbaik, mengalirkan semangat pahlawan ketika bertanding serta saya mendoakan kemenangan dan kejayaan buat kontinjen silat Sarawak pada kejuaraan kali ini. Saya berharap peluang beraksi di laman sendiri akan memberikan sumber kekuatan yang lebih kepada kontinjen silat Sarawak untuk mempamerkan aksi bertenaga dan persembahan yang memukau para pencinta sukan silat. Ingin saya tegaskan juga, jadikan kejuaraan ini untuk memperkukuhkan hubungan sesama pesilat dan saling bekerjasama bagi mencapai masa depan silat yang lebih tinggi di rantau ini dan persada dunia.
Tegap tiang disinggahsana, Tegap berdiri dilaman cindai, Budaya melayu tegap didunia Tiada gentar menempuh badai. Dengan kata-kata dan harapan tersebut, saya sudahi ucapan saya dan secara rasminya saya merasmikan Kejuaran Silat Premier Antarabangsa Sarawak 2023 dengan Wabillahi Taufik Wal Hidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Sekian, terima kasih
Comments